Darjah 3 Orkid

Budak Meja Belakang Shah Ibrahim Darjah 3 Orkid

Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting. Tampoi, Johor. 1990. Darjah 3 Orkid.

Sungguhpun hampir tiga dekad telah berlalu, terasa seperti baru kelmarin sahaja foto ini dirakam. Mencecah hampir 50 orang murid, kelas kami memang seramai ini. Termasuk saya, rata-rata murid lelaki tahap 1 masih pergi ke sekolah berseluar pendek. Berpotongan kembang tergantung macam seragam watak-watak polis dalam filem-filem P Ramlee. “Oh… Kau mencuri ya, gemuk?!”

Pintu bilik darjah diperbuat daripada kayu jenis nipis. Kucing rempuh pun boleh pecah rasa-rasanya. Tingkap nako merupakan norma walaupun lazimnya rongak. Entah siapalah yang curi. Meja serta kerusi kayu berbau reput. Setiap pagi saya perasan laci meja lembap. Maka, khazanah peribadi kekal dalam beg sekolah.

Berbanding murid-murid lain yang gemar menggantung beg galas masing-masing di belakang kerusi, saya pula terpaksa letak atas lantai agar kerusi tidak terjungkit ke belakang. Umum sedia maklum, kesemua buku teks saya usung bersama setiap hari. Termasuk peralatan Pendidikan Seni, rekorder subjek muzik serta baju sukan belum berbasuh.

Kekerapan murid didenda berdiri atas meja memaksa kipas siling tiga bilah sentiasa berputar perlahan tahap serupa tak payah. Foto ini selaku bukti (kalau kalian nak tahu, kipas sebenarnya sedang berpusing). Lagipun, sayalah tukang petik suis setiap hari memandangkan panel suis berada betul-betul di sebelah saya. Meja paling belakang dalam bilik darjah.

Seingat memori, tombol kelajuan sentiasa di posisi satu. Saya pernah cuba mengubah. Tetapi kena marah pula dengan cikgu. Selaku budak montel, saya kuat berpeluh. Terseksalah juga. Seawal perhimpunan pagi belakang kemeja sudah basah lencun.

Sepanjang hari bertongkat dagu sambil menanti loceng tamat sekolah berbunyi, macam-macam saya berangan.

Cikgu garang tiba-tiba mengandung dan terberanak. Ribut salji melanda Malaysia. Ada orang datang culik saya bawa lari. Atau sekurang-kurangnya, raksasa menyerang pekan Tampoi agar sekolah terpaksa ditutup. Absolutely anything to get me out of school. Saya memang tak suka pergi sekolah.

Antara kelebihan duduk di meja belakang berhampiran pintu keluar, cikgu-cikgu kelas lain suka ‘meminjam’ saya secara rambang. Selalunya untuk tolong angkat barang (tugasan stereotaip budak gemuk). Walaupun ketara jelas guru kelas saya tak suka, beliau terpaksa merelakan jua. Detik-detik sebegini saya anggap sebagai kurnia dari langit. Lebih-lebih lagi jikalau subjek yang sedang berlangsung tersebut saya cukup benci.

Alang-alang dah keluar kelas, saya pun melenconglah ke mana yang patut. Misalnya, menyorok dalam tandas sehingga loceng pertukaran subjek berdering. Cari nahas juga melepak lama-lama dalam tandas murid lelaki seorang diri sebab kononnya ada nenek kebayan dalam kubikel paling hujung yang sentiasa berkunci itu. Saya tak kisah. Di persimpangan cerita, saya lebih takut akan guru berbanding hantu.

Selain dipinjam oleh guru-guru lain, kedatangan jurukamera ke sekolah juga membuatkan hati ini gembira kerana sesi pembelajaran bakal terhenti. Hooray!

Yang mana satukah Shah Ibrahim dalam foto, kalian bertanya? Saya biarkan kalian meneka.

Pembayang: Cari budak berwajah paling masam.

Entri FB 15 Januari 2019.

Batch Pre-Order BMB: Pax Americana Sudah Dipos

Budak Meja Belakang Pax Americana FlatLay Pertama

Saya telah difahamkan yang kesemua tempahan pre-Order buku Budak Meja Belakang: Pax Americana (batch menerusi MrFlowerman Studio) berjaya diposkan semalam.

InsyaAllah, buku-buku akan menemui anda seawal hari ini (mengikut destinasi pembeli).

Semoga pakej tiba dengan selamat.

Dan semoga kalian terhibur dengan naskhah terbaharu ini.